Satu petang, Si suami yang baru pulang dari kerja, ingin memanjakan isterinya, “Jom kita keluar, malam ni kita makan di kedai je lah”. Sambut isterinya, “Eh nasi banyak lagi tu bang, gulaipun ada lagi tu. Nanti membazir, siapa pula nak menghabiskan tu”. Kalau diikutkan jawapannya itu seolah-olah membantah cadangan suaminya itu, tetapi tindakannya berlainan.
Si isteri masuk ke bilik terus menukar baju dan membelitkan tudung di kepalanya di hadapan cermin di dalam bilik tidurnya. Sambil menunggu isterinya, dia mencapai surat khabar yang dibawa daripada pejabat tadi. Suaminya faham sangat. Kalau mulut isteri membantah tetapi nampak bergegas menukar baju, maknanya dia setujulah tu.
Setiba di gerai “char kue teow” yang biasa mereka singgah, adik di gerai tu menghampiri mereka dan bertanya, “Pak Cik nak makan apa?”. Pantas suaminya menjawab, “Char kue teow”. Ditegur isterinya, “Ish Abang ni, mintalah yang lain pula, mee ke, bihun ke. Kan dulu dah makan char kue teow ni”. Suami mula naik berang, “Menyusah je fikir-fikir, Abang tengah lapar, nak makan char kue teow le, Awak nak yang lain, pesan je la”. Muncung terus mulut si isteri mendengar arahan suaminya itu dan lantas memesan bihun sop untuk dirinya.
Sedang mereka menjamu selera, isterinya memecah kesunyian dengan bertanyakan satu soalan menjerat, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Sambil kepalanya masih tunduk menyedut lelehan kuah kue teow itu, suami membalas, “Sedap”. Terus melicinkan char kue teow kegemarannya itu. Apabila isterinya melihat piring suami telah licin, dia menegur dengan nada kecewa, “Awak tu makan, bukan nak ingatkan saya”. Tergamam suami mendengarnya terus membela diri, “Tadi tak cakap pun nak”. Sambut isterinya, “Dah cakap tadi, abang buat tak faham je”. Dibalas suaminya untuk membela dan membenarkan dirinya, “Mana Abang tahu awak nak rasa, kalau nak, pesan lagi satu”.
Suara masing-masing mula meninggi. Isteri merasakan suasana romantik yang dia mula kecapi seawal suaminya mengajak makan di gerai tadi telah hancur berkecai apabila suami tidak memahami kehendaknya malam itu. Bagi Sisuami pula, asalnya tadi keluar makan di luar untuk membantu isteri merehatkan badannya supaya tidak susah-susah memasak di rumah dan dengan harapan malam nanti dapatlah hadiah istemewa daripada isterinya. Tetapi sekarang, telah bertukar menjadi medan peperangan dingin dengan isterinya di meja char kue teow pula. Mengapa perkara ini boleh terjadi?
Kebiasaan wanita, apabila mereka berkomunikasi, mereka menggunakan ungkapan yang tidak terus. Mereka menggunakan bahasa berlapik, maksud terbalik dan berpusing-pusing sebagaimana peribahasa Inggeris “beats around the bush”. Laporan ScienceDaily (Jan. 21, 2005) berjudul “Intelligence In Men And Women Is A Gray And White Matter” mengatakan binaan otak wanita yang memang telah diprogramkan memiliki lebih “white matter” yang bertugas menghubungkaitkan sesuatu perkara dengan yang lain hingga menyebabkan mereka pakar menggunakan pendekatan ‘komunikasi-bahasa-tidak terus’ ini.
Bercakap adalah asas perhubungan yang utama bagi wanita. Mereka menggunakan pendekatan ini untuk membina jambatan perhubungan dengan orang lain untuk mengelakkan konfrantasi secara terbuka, bersopan santun dan berbudi bahasa. Wanita memang suka menggunakan proses komunikasi cara ini untuk menyampaikan mesej terutama sekali kepada orang yang dia sayangi. Bagi mereka, jika orang yang dia sayangi ini memahami apa yang dia ungkapkan dengan tepat, maka orang itu dilabelkan sebagai seorang yang romantik.
Sebagai contoh kalau mereka berdua sedang menaiki kereta dalam perjalanan yang jauh dan isterinya berasa lapar. Pada masa itu mereka sedang melalui deretan kedai-kedai makan. Terdapat beberapa ungkapan yang tidak terus yang wanita gunakan untuk memberitahu suami yang mereka lapar. Mereka tidak sanggup mengungkapkan perkataan, “Abang saya lapar, berhenti di kedai makan depan itu sekarang”. Mereka akan menggunakan bahasa tidak terus seperti berikut, “Abang tak lapar ke?”. Atau, “Dulu kita pernah makan di kedai depan tu kan, sedap masakannya”. Atau, “Tomyam kedai di depan tu sedapkan Abang”. Dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang kebanyakan lelaki tidak faham. Maka suami yang romantik ialah apabila sahaja dia mendengar isyarat ini, dia telah tahu bahawa isterinya sedang lapar dan mahu makan. Tanpa bersoaljawab, dia terus sahaja membelokkan keretanya ke halaman deretan kedai makan dan mencari pakir yang dekat dengan restoren yang dia sebut tadi.
Namun kebanyakan lelaki tidak faham dengan bahasa-tidak-terus ini. Minda lelaki yang memiliki lebih sepuluh kali “grey matter” daripada wanita yang tugasnya hanya memproses maklumat, kurang dapat mengaitkan ungkapan atau ayat-ayat yang berlapik-lapik ini. Kefahamannya hanya bergantung kepada apa yang diucapkan. Dia tidak pandai untuk mentafsirkan apa yang tersirat daripada apa yang tersurat. Oleh itu, jika isterinya beri isyarat. “Abang tak lapar ke?”, Dia akan jawab, “Tak lapar” dan meneruskan pemanduannya. Kecewalah isteri ini dan suaminya ini akan dicopkan sebagai tidak romantik.
Berbalik kita kepada kisah yang mula-mula saya paparkan itu. Apabila isteri bertanyakan kepada suaminya, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Ini bermaksud, “Abang, saya nak rasa sikit char kue teow tu”. Dan sebaik-baiknya, tanpa soal jawab, suaminya itu terus menukar piring char kue teownya dengan mangkuk bihun sop isterinya. Selepas minum separuh, suami itu juga menukarkan gelas minuman milo aisnya dengan minum isterinya. Suami yang berbuat demikian dicopkan sebagai seorang yang romantik. Dia bukan hanya dipuji kerana memahami kehendak isterinya, malah isteri juga puas kerana dapat merasai dua jenis makanan dan minuman pada malam itu dengan harga yang dibayar oleh seorang mengikut perkiraan wanita.
Berikut saya paparkan sedikit daripada ungkapan bahasa-bahasa-tidak-terus yang boleh dijadikan panduan kepada suami jika dia terdengar isterinya.
1. Bila suami mengajak isterinya pergi ke sesuatu tempat dan isterinya menjawab, “Tengoklah”. Besar kemungkinan maksudnya dia tidak mahu pergi.
2. Bila suami isteri sedang berbincang untuk membeli atau memberikan sesuatu kepada isteri, tetapi dalam perbincangan itu timbul pelbagai masalah hingga isterinya seolah-olah mengalah, “Saya tak kisah”. Sebenarnya apa yang dia maksudkan itu ialah dia kisah dan mahu juga benda itu.
3. Bila suami pulang dari kerja dan sesampai di pintu, isterinya menegur suaminya, “Abang letih eh”. Bagi suami yang tidak faham, pasti akan menjawab apa yang dia rasai seperti, “Aa, letih”. Maka kecewalah isterinya itu kerana maksud sebenar ialah dia hendak mengajak suaminya keluar masa itu juga.
Mengapa orang lelaki tidak faham bahasa perempuan ini ialah kerana kebiasaannya orang lelaki berkomunikasi menggunakan ayat yang pendek, terus, tepat kepada maksudnya dan penuh dengan fakta. Lelaki dengan watak kepimpinan dan penguasaan sering menggunakan komunikasi ini untuk mendapatkan kuasa dan sokongan daripada orang lain. Di dalam perniagaan, cara komunikasi sebegini amat sesuai untuk membuat keputusan dan keberkesanan perundingan dengan cepat. Tetapi kalau cara ini digunakan untuk berkomunikasi dengan orang perempuan, ia dilihat sebagai kurang sopan dan tidak beradab.
Oleh itu nasihat saya kepada suami yang ingin memahami bahasa terbalik isterinya ialah,
1. Bila isterinya bersuara, cuba dengar betul-betul ungkapannya dan lihat juga air muka serta pandangan matanya. Pasti kita boleh memahami maksudnya sama ada terus atau terbalik melalui tonasi dan bahasa badannya.
2. Kalau suami masih merasai tidak faham maksudnya, cepatlah bertanya secara terus terang, “Apa maksud awak tadi?”.
3. Bila suami telah memahaminya, maka simpanlah ilmu dan kemahiran ini untuk digunapakai masa depan apabila diucapkan oleh isterinya nanti. Pastinya suami ini dilebelkan sebagai lelaki yang paling romantik.
4. Terimalah cara bahasa terbalik yang amat memeningkan kepala ini sebagai tanda isteri masih sayang kepada kita. Kebiasaannya, isteri tidak menggunakan kaedah ini kepada sesiapa sahaja yang dia tidak kenal melainkan kepada orang yang dia sayangi dan teman sejenisnya
Kepada isteri pula,
1. Sebelum anda menggunakan bahasa berbahasa ini kepada suami, sila lihat dulu keadaan suami anda. Jika dia dalam keadaan serius atau kelihatan letih atau mengalami stres, jangan gunakan lagi pendekatan ini. Dibimbangi, ketidakfahamannya nanti boleh menyebabkan jiwa panas barannya mengganas.
2. Kalau keadaan suami kelihatan ceria dan bersedia untuk bergurau senda, bolehlah anda bermanja-manja menggunakan bahasa terbalik berpusing-pusing ini untuk menagih kehendak dan keperluan anda. Kalau dia tidak faham juga, anda hendaklah dengan suara manja menerangkan maksud sebenar. Jangan mengharapkan dia faham sendiri kalau dia kelihatan tidak faham. Nanti anda juga yang kecewa.
Renung dan fikir kembali situasi ini dalam kehidupan rumahtangga kita seharian.InsyaAllah,yang mana kurang boleh diperbaiki. Fahami pasangan dan hargai mereka. Jika anda mengharapkan kesempurnaan,anda akan jumpa banyak kelemahan pada dirinya. Tetapi jika anda merima kekurangan seadanya, ada sedang membina kesempurnaan di mata pasangan anda. Selamat Mencuba.
Sumber : Facebook